Ahad, 21 Oktober 2012

Knowledge 1 : Pemikiran Sebagai Asas Etika dan Nilai-nilai Moral



Apakah yang boleh menjelaskan definisi bagi ETIKA?

"ianya adalah satu sistem kepercayaan yang didasarkan kepada moral dan ia diterima untuk mengawal tingkah laku manusia"

Jikalau hendak ditafsirkan dari sudut pelbagai bahasa, etika berasal daripada perkataan Greek iaitu ethos yang membawa erti perangai. manakala dari perkataan Latin yang seerti dengan mores iaitu moral. Secara keseluruhannya, etika merupakan panduan kepada manusia untuk mengenal pasti sesuatu perkara itu sama ada negatif atau positif.

Pembahagian etika menurut para sarjana dan ahli falsafah ialah etika meta (meta ethics), etika normatif (normative ethics) dan etika gunaan (applied ethics).

Etika Meta

"disebalik apa yang dapat dilihat dengan mata kasar"

Ia dapat diperjelaskan bahawa etika meta melibatkan perkara-perkara ghaib dalam kehidupan manusia seperti perkara yang berkaitan dengan Tuhan, keagamaan, kebenaran sejagat dan peranan akal. Etika agama atau etika deskriptif terkandung dalam etika meta yang membincangkan pelbagai fahaman agama yang dianuti oleh manusia dari segi sistem moral mereka.

Etika Normatif

"membuat kritikan dan melakukan penilaian ke atas etika moral yang ada dan kemudiannya mencadangkan satu sistem yang standard untuk semua"

Etika normatif ini melibatkan penaakulan akal dalam membincangkan sesuatu etika moral untuk diterima oleh semua manusia. Teori utama dalam penggunaan etika normatif ini ialah deontologikal dan teleologikal.

Dalam teori deontologikal, ia fokus kepada perlakuan baik-buruk sesuatu perkara itu berdasarkan tindakan. Ia akan menetapkan sesuatu perkara itu baik jika sememangnya maksudnya adalah baik seperti tindakan membantu adalah perkara baik maka jika seseorang itu membantu untuk mencuri, ia tetap akan dianggap perlakuan baik keran membantu.

Berbanding dengan teori teleologikal yang berdasarkan kepada kesan sesuatu tindakan. Ianya bermaksud, setiap perbuatan yang dilakukan akan dinilai berdasarkan kesan akhirnya atau hasil akhirnya.

Etika Gunaan

"membincangkan isu-isu khusus dalam kehidupan seharian meliputi pelbagai bidang"

Ia adalah etika yang digunakan sebagai panduan masyarakat dalam sesuatu bidang. Ia juga kadang kala menggunakan konsep etika meta dan etika normatif untuk lebih memberi pemahaman dalam sesuatu perkara.

*******

Terdapat pelbagai jenis aliran etika yang diwujudkan oleh pelbagai fahaman kerana setiap individu mempunyai tafsiran etika yang berbeza iaitu utilitarianisme, hedonisme dan eksistensialisme.

Utilitarianisme berasal daripada perkataan "utility" yang bermaksud kegunaan. Ia menekankan bahawa, kebaikan yang diberikan untuk masyarakat semaksimum mungkin adalah yang terbaik. Hedonisme pula berasal daripada perkataan Greek "hedone". Aliran etika ini sangat mementingkan perasaan dan keadaan yang gembira dan menyenangkan semua masyarakat. Ia tidak menekankan perkara-perkara yang negatif, tetapi hanya mementingkan perkara-perkara yang positif sahaja seperti berpesta. Manakala, eksistensialisme lebih tertumpu kepada kebebasan yang optimum bagi seseorang individu. Ini sangat bertentangan dengan panduan moral sesuatu masyarakat. Aliran etika ini menggalakkan seseorang itu melakukan sesuatu atas kebebasan diri sendiri.

Oleh itu, etika sangat penting bagi manusia menjalani kehidupan keran ia dapat dijadikan panduan dalam membuat pilihan sesuai dengan keadaan ketika itu.

*******

Akhlak Islam

Definisi akhlak ialah sifat yang menyenangkan dan positif dalam kehidupan seharian. ini sangat penting bagi masyarakat Islam dalam memenuhi syarat pendidikan Islam. Aspek akhlak dalam Islam adalah merangkumi semua entiti iaitu sesama manusia dan alam semulajadi. Akhlak mengajar manusia untuk bersikap positif luar dan dalam serta membentuk diri menjadi lebih baik apabila diaplikasikan. Akhlak juga mempunyai kaitan yang kuat dengan adab. Melalui akhlak, manusia dibentuk untuk menjalankan adab-adab yang baik dalam kehidupan seharian. Oleh itu, melalui pembentukan akhlak dapat menjadikan seseorang individu itu mempunyai adab dalam hidup.

*******



Tiada ulasan: